Piala Cahya Mata 2026 tawar hadiah RM100,000
Friday, 03 Jul 2026
Kuala Lumpur: Sebanyak 256 pasukan daripada lapan negeri secara rasmi bakal memulakan saingan Piala Cahya Mata 2026 bermula Ahad ini bagi merebut hadiah wang tunai RM100,000 selepas majlis undian peringkat kumpulan bagi negeri Sarawak diadakan, hari ini.
Lapan negeri yang bakal menjadi tuan rumah ialah Sarawak, Sabah, Melaka, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang serta Kelantan dan setiap negeri bakal membabitkan 32 pasukan.
Penyertaan itu yang berjaya mengumpul kira-kira 6,400 pemain akan beraksi dalam pusingan kelayakan di seluruh negara dengan setiap juara negeri bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Lebih menarik, penganjur turut memperkenalkan Piala Cabaran di peringkat negeri yang menawarkan peluang kedua kepada pasukan yang tewas dalam perlawanan pembukaan.
Menerusi format itu, pasukan yang kalah dalam aksi pertama tidak akan terus tersingkir, sebaliknya akan beraksi dalam saingan Piala Cabaran bagi merebut gelaran juara.
Juara pertandingan itu bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, manakala naib juara menerima RM1,000. Dua pasukan yang muncul di tempat ketiga bersama pula masing-masing membawa pulang RM500.
Kemuncak saingan akan berlangsung di Kuching pada November ini apabila semua juara negeri berhimpun bagi mengharungi Grand Final untuk merebut gelaran juara keseluruhan berserta hadiah wang tunai RM100,000.
"Majlis undian ini menjadi satu lagi pencapaian penting buat kejohanan anjuran Cahya Mata yang disasarkan muncul sebagai kejohanan bola sepak komuniti amatur terbesar di Malaysia.
"Selepas undian kumpulan bagi Negeri Sembilan dan Sarawak selesai, baki undian untuk negeri lain akan berlangsung pada 5 Julai ini. Perlawanan pertama akan berlangsung di Seremban pada 5 Julai, diikuti sepak mula serentak di Sarawak, Sabah, Melaka, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan pada 18 Julai 2026," menurut kenyataan rasmi dari Cahya Mata Sarawak.
Jadual perlawanan, lokasi pertandingan dan kedudukan semasa boleh didapati menerusi laman rasmi Piala Cahya Mata 2026 di cahyamata.sukandigital.com
Rujukan: Harian Metro