Piala Cahya Mata 2026 Dijangka Beri Impak Besar

Saturday, 23 May 2026

Share
Piala Cahya Mata 2026 Dijangka Beri Impak Besar

KUALA LUMPUR: Piala Cahya Mata 2026 dijangka mencipta impak lebih besar apabila kejohanan bola sepak akar umbi itu diperluaskan ke seluruh negara dengan tawaran keseluruhan hadiah melebihi RM700,000.


Selepas kejayaan edisi sulung di Kuching tahun lalu, kejohanan berasaskan komuniti itu kini akan berlangsung di setiap negeri bermula Julai hingga November ini.


Format kejohanan akan menggunakan sistem liga di setiap peringkat negeri sebelum juara negeri mara ke pusingan kalah mati seterusnya ke pentas Grand Final yang akan berlangsung di Kuching.


Terbuka kepada warganegara Malaysia lelaki berusia 16 hingga 35 tahun, kejohanan itu bertujuan menyediakan platform kompetitif kepada pemain bola sepak akar umbi bukan profesional di seluruh negara.


Setiap pasukan turut dibenarkan mendaftarkan sehingga lima pemain berusia lebih 35 tahun sebagai usaha menggalakkan perkongsian pengalaman serta bimbingan antara generasi.


Juara kebangsaan bakal membawa pulang RM100,000 manakala juara negeri menerima RM20,000, dengan jumlah penyertaan dianggarkan membabitkan sekitar 11,200 pemain dan pegawai pasukan di seluruh negara.


Pendaftaran kini dibuka dengan penganjur mengesahkan tiada yuran dikenakan bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas.

Selain bola sepak, kejohanan itu turut menekankan kempen kesedaran anti-dadah serta akan melakukan ujian saringan secara rawak di sepanjang pertandingan.


Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan sukan, sebaliknya platform untuk membentuk komuniti yang lebih sihat.


"Piala Cahya Mata 2026 bukan hanya tentang bola sepak. Kami percaya sukan adalah antara alat paling berkesan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan bebas dadah dalam kalangan belia Malaysia.


"Menerusi kejohanan ini, kami berharap dapat menyatukan komuniti serta membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk bersaing dan berkembang," katanya.


Beliau berkata, sambutan menggalakkan pada edisi pertama di Kuching menjadi pencetus kepada keputusan memperluaskan kejohanan ke seluruh negara.


"Saya melihat bagaimana pembabitan komuniti dan pemain berusaha gigih. Ia memberi inspirasi untuk diperluaskan ke seluruh negara kerana melihat semangat mereka dan keluarga mereka, ia sesuatu yang luar biasa," katanya.


Mengulas lanjut mengenai kawalan ketat berkaitan dadah yang akan dikuatkuasakan sepanjang kejohanan, ia adalah bagi memastikan integriti pertandingan terjamin.


"Jika ada yang didapati positif dadah, pasukan akan digugurkan. Pemain perlu bertanggungjawab dan pasukan juga perlu menjaga antara satu sama lain," katanya.


Beliau turut berharap kejohanan itu dapat memperkukuhkan perpaduan rakyat melalui bola sepak dan pembabitan komuniti di seluruh negara.


"Kami mahukan perpaduan. Kami mahu menyumbang kepada masyarakat dan memastikan kejohanan ini memberi kesan kepada orang ramai," katanya.



Rujukan: Berita Harian

Jom Main Bola!

Stay in the game! Follow Cahya Mata on social media
for exclusive highlights and live updates.

#TEGUHBERSAMA