Piala Cahya Mata 2026 Buka Laluan Bakat Amatur Ke Pentas Profesional
Saturday, 18 Jul 2026
Kejohanan Piala Cahya Mata 2026 diperluaskan ke lapan negeri, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kejohanan bola sepak amatur terbesar di Malaysia.
Penyelaras Teknikal Zon Sarawak, Awg Zaifulizan Abdul Rahman Awg Mohd berkata, kejayaan edisi terdahulu di Sarawak menjadi pemangkin kepada penganjuran di Sarawak, Sabah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan serta Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurutnya, kejohanan itu bertujuan memperkasakan komuniti bola sepak dan membuka laluan kepada pemain amatur untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Sebanyak 32 pasukan menyertai saingan Sarawak, manakala setiap negeri menerima penyertaan antara lebih 20 hingga 32 pasukan. Penyertaan percuma turut memberi peluang kepada pasukan amatur beraksi dalam pertandingan berstandard profesional tanpa dibebani kos.
Kapten Hipmau FC, Alex Bong berkata pasukannya bersedia mempertahankan kejuaraan selepas menjalani latihan secara konsisten.
“Kami datang dengan sasaran untuk menjadi juara sekali lagi. Walaupun saingan tahun ini lebih luas, kami yakin dengan persiapan dan kemampuan pasukan,” katanya.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad, Jason Lee berkata kejohanan itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat, malah menyatukan komuniti bola sepak amatur di seluruh negara.
Ujian saringan dadah secara rawak turut dilaksanakan bagi memastikan pertandingan berlangsung secara adil dan telus.
Juara negeri bakal menerima RM20,000, manakala juara keseluruhan membawa pulang RM100,000 daripada keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM744,000.
Saingan peringkat negeri berlangsung dari Julai hingga November 2026 sebelum empat pasukan terbaik berentap pada Grand Final di Kuching. – TVS
Rujukan: TVS Sarawak