Piala Cahya Mata 2026: 256 Pasukan Bola Sepak Amatur, 6,400 Pemain Berentap Di 8 Negeri
Friday, 03 Jul 2026
KUALA LUMPUR: Kejohanan bola sepak komuniti amatur terbesar bagi merebut Piala Cahya Mata 2026 selesai melakukan proses undian bagi peringkat Sarawak dengan 32 pasukan mengesahkan tempat untuk berentap.
Mereka sebahagian daripada keseluruhan 256 pasukan seluruh negara yang akan bersaing dalam peringkat pusingan di lapan negeri termasuk Kuala Lumpur.
Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) melalui kenyataan memaklumkan, majlis undian di Sarawak menandakan satu lagi mercu tanda penting bagi kejohanan itu yang kini berada di landasan tepat untuk menjadi kejohanan bola sepak komuniti amatur terbesar di Malaysia.
Katanya, undian kumpulan untuk Negeri Sembilan dan Sarawak sudah selesai diadakan, manakala baki negeri lain dijadualkan menyusul 5 Julai ini.
"Dianggarkan 6,400 pemain bakal berentap dalam pusingan kelayakan di peringkat kebangsaan. Siri saingan berkenaan menawarkan ganjaran lumayan dan juara bagi setiap negeri bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.
"Perlawanan pembukaan tirai dijadual berlangsung di Seremban pada 5 Julai ini, disusuli aksi sepak mula secara serentak di lapan destinasi lain iaitu Sarawak, Sabah, Melaka, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan pada 18 Julai depan," katanya.
Bagi menyemarakkan lagi persaingan serta memupuk semangat inklusif, Cahya Mata selaku penganjur turut memperkenalkan format unik iaitu Challenger's Cup di peringkat negeri.
"Format baharu ini memberi peluang kedua kepada semua pasukan iaitu mereka yang tewas dalam perlawanan pertama akan beralih ke carta sekunder.
"Langkah itu memastikan tiada pasukan tersingkir awal daripada saingan dan juara Challenger's Cup bakal meraih ganjaran tunai RM2,000, manakala naib juara pula akan membawa pulang RM1,000 dan pemenang tempat ketiga bersama masing-masing bakal menerima RM500," katanya.
Katanya, kemuncak saingan akan menyaksikan semua juara dari setiap negeri berhimpun pada pusingan akhir yang bakal berlangsung di Kuching pada November depan, bagi merebut gelaran juara keseluruhan sekali gus membawa pulang hadiah utama bernilai RM100,000.
Untuk maklumat lanjut mengenai jadual perlawanan, venue dan kedudukan carta terkini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Piala Cahya Mata 2026 di cahyamata.sukandigital.com
Rujukan: Berita Harian