Cahya Mata gegar arena akar umbi
Friday, 22 May 2026
Kuala Lumpur: Kejayaan penganjuran kejohanan sulung di Kuching tahun lalu mendorong Cahya Mata Sarawak Berhad memperluaskan Piala Cahya Mata 2026 ke seluruh negara dengan tawaran wang hadiah keseluruhan melebihi RM700,000.
Kejohanan bola sepak komuniti itu dijadual berlangsung dari Julai hingga November depan dengan menggunakan format liga yang akan dijalankan serentak di setiap negeri sebelum juara negeri mara ke pusingan kalah mati dan seterusnya ke pentas akhir di Kuching.
Piala Cahya Mata 2026 dibuka khusus kepada pemain lelaki bukan profesional warga negara Malaysia berusia antara 16 hingga 35 tahun sebagai usaha menyediakan platform kompetitif buat bakat akar umbi.
Bagi menambah elemen bimbingan dan perkongsian pengalaman, setiap pasukan turut dibenarkan mendaftarkan sehingga lima pemain berusia lebih 35 tahun.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan bola sepak sebaliknya platform membentuk golongan muda ke arah gaya hidup lebih sihat dan positif.
"Piala Cahya Mata 2026 bukan sekadar mengenai bola sepak. Kami percaya sukan adalah medium paling berkuasa untuk membimbing golongan muda ke arah kehidupan sihat dan bebas dadah.
"Menerusi kejohanan ini, kami berharap dapat menyatukan komuniti sambil membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk bersaing dan berkembang," katanya pada majlis pelancaran kejohanan itu di sini, hari ini.
Menurutnya, kejohanan berkenaan dijangka menarik penyertaan kira-kira 11,200 pemain dan pegawai pasukan dari seluruh negara sekali gus menjadikannya antara kejohanan akar umbi terbesar di Malaysia.
Juara kebangsaan bakal membawa pulang RM100,000 manakala setiap juara peringkat negeri menerima RM20,000.
Bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas, Cahya Mata turut memutuskan untuk tidak mengenakan sebarang yuran pendaftaran kepada pasukan bertanding.
Selain aspek pertandingan, kejohanan itu turut membabitkan program kesedaran dadah dan ujian saringan dadah secara rawak dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan sebagai usaha mewujudkan persekitaran sukan yang sihat dalam kalangan belia.
Pendaftaran bagi Piala Cahya Mata 2026 kini dibuka dengan sepak mula rasmi kejohanan dijadual berlangsung pada Julai depan.
Rujukan: Harian Metro